Tuesday, February 14, 2012

Halawatul Iman

Bismillah. Selamat bertemu kembali teman-teman yang dirahmati Allah dan disayangi nabi. Semoga kita sentiasa bernafas di dalam keredhaanNya dan dipayungi rahmatNya.

1. Posting saya kali ini ialah berkaitan tajuk forum yang saya hadiri semasa di UiTM Perlis baru-baru ini iaitu 'Halawatul Iman' yang bermaksud 'Kemanisan Iman' di dalam BMnya. Sangat berat tajuk ini bagi saya, apatah lagi bila dicerminkan kepada diri ini. Walau bagaimanapun, atas dasar perkongsian ilmu dan kebaikan, saya gagahi juga untuk bermusafir ke Perlis yang merupakan tempat kelahiran saya itu. Mudah-mudahan, ada sedikit pencerahan yang boleh saya lakukan khususnya untuk diri ini. Terasa angin bahagia menerpa hati, bila sahaja mengetahui saya akan digandingkan dengan adik-adik mad'u yang saya mula kenali mereka melalui usrah semasa saya masih di alam kampus suatu ketika dulu =)

2. Teman, secara mudahnya ingin saya katakan, kemanisan iman ini ialah apabila kita rasa sangat gembira terhadap apa sahaja amal kebaikan yang kita lakukan, sehingga kita sanggup bersusah-payah keranaNya. Jangan hanya melihat kepada amal ibadat yang khusus semata-mata seperti solat, puasa dan berzikir, bahkan memberikan senyuman, menghulurkan pertolongan dan bergaul dengan baik juga ialah antara perilaku yang boleh dimanfaatkan untuk merasai kemanisan iman.

3. Saya cuba menggali khazanah dari nabi kita SAW yang dicintai tentang kemanisan iman ini. Baginda SAW ada bersabda yang direkodkan oleh Anas R.A yang menyatakan bahawa jika seseorang itu mempunyai 3 perkara ini di dalam dirinya, nescaya beliau akan dapat merasai kemanisan iman. Ianya sebagaimana berikut:

~ Mencintai Allah dan RasulNya lebih dari segala-galanya
~ Mencintai seseorang kerana Allah
~Membenci untuk kembali kepada kekafiran/kemaksiatan setelah Allah selamatkannya, sebagaimana bencinya dia untuk dilemparkan ke neraka.

4. Teman, apabila saya menekuni 3 perkara tersebut, jujur saya katakan memang susah untuk kita konsisten dalam kehidupan ini dengannya, walaupun mungkin pada awalnya kita berkobar-kobar untuk mendapatkannya. Tetapi sebaik sahaja menatap kata-kata ini, aura kebangkitan mula menusuk masuk di dalam diri:

"Jika engkau letih melakukan kebaikan, sedarlah bahawa letihmu akan hilang dan pahalamu akan tersimpan kekal. Manakala jika engkau berlazat dan berseronok dengan berbuat dosa, ketahuilah bahawa seronok dan lazat itu akan berlalu, tetapi dosa dan azab masih tersimpan kekal"

5. Pernah tak anda rasa kurang selesa di dalam diri apabila terlepas solat Dhuha yang sentiasa anda amalkan setiap pagi? Atau rasa kurang tenteram apabila terlepas solat tahajjud yang anda istiqamah lakukan sebelumnya? Atau anda rasa bersalah bila sahaja anda masih belum menginfaqkan harta anda yang telah anda tetapkan bahagiannya di dalam sebulan? InsyaAllah teman, jika kita rasa sedemikian, itulah simptom-simptom kemanisan iman yang akan dialami oleh sesiapa sahaja yang berusaha mencapainya.

6. Teman, memang kita tidak dapat menandingi Bilal bin Rabah, yang kemanisan imannya telah menguasai dirinya dari murtad tatkala disiksa, dan kita juga tidak dapat melawan Tsa'labah, yang perasaan bersalahnya tatkala terlihat perkara mungkar sangatlah dahsyat sehingga tidak mahu meletak kepalanya di ribaan nabi SAW. Pun begitu, berusahalah teman. Ayuh kita gigih untuk mendapatkan kemanisan ini. Jangan mengalah pada diri. . Bangunlah kembali selepas jatuh. Jangan terus di dalam kejatuhan tersebut!

“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah bergetarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah keimanan mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal, iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan menafkahkan sebagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa darjat ketinggian disisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki yang mulia.”
(Al-Anfaal : 2)



Syukran. Jumpa lagi teman jika dipanjangkan umur olehNya.