Thursday, April 21, 2011

Luahan hatiku hari ini...

Assalamualaikum WBT. Semoga teman-teman dalam rahmat Allah...hari ni saya rasa nak luah sesuatu sikit. Boleh?

Lepas saya habis ikuti usrah pemuda Kota Bharu semalam , inbox handset saya telah menerima satu mesej dari seorang sahabat. Beliau memaklumkan saya berita kematian ayah kepada sahabat kami...Al-Fatihah untuk ayahnya. (Kita bila pulak ya?)

Blog ini selain dari tempat berkongsi maklumat atau peringatan, saya rasa tidak salah jika ianya menjadi tempat luahan, asal sahaja luahan tersebut tidak mengajak manusia jauh kepadaNya. Makanya saat ini, saya ingin meluah sesuatu kepada teman-teman alam maya sekalian. Kalaupun teman-teman rasa ianya bukan luahan, terpulanglah. Saya sekadar ingin melegakan diri dan juga mengharapkan tulisan ini menjadi sumber pahala berterusan untuk saya apabila mati kelak...

1. Saya terkesima apabila menatap satu status FB seorang sahabat. Walaupun mungkin dia just copy and paste sahaja perkara tersebut, tetapi ianya cukup membuatkan saya tergamam dan hiba terhadap diri sendiri bila memikirkannya. Saya siap tulis lagi dan masukkannya dalam dompet saya sebagai reminder bila terasa nak buat maksiat.Anda nak tahu apa?Nah baca ni!

SIMPTOM-SIMPTOM JAUH DARIPADA ALLAH

Fikiran serabut - Cepat marah - Selalu merasa bosan - Poket kering - Hutang keliling pinggang - Datang penyakit - Hilang/pudar kecantikan dalaman dan luarannya - Dihina dan dipinggir orang - Wajahnya penuh kusut dan kusam - Dia senyum dan ketawa di hadapan orang tetapi menangis apabila bersendirian - Masalah datang bertimpa-timpa - Lambat jodoh - Tidak mendapat zuriat - Tidak merasa puas dengan kehidupan - Keliru dengan identiti/keinginan hidup - Bahagia yang sementara - Sering ada penghalang dalam urusan kehidupan - Tidak merasa bahagia dengan nikmat Allah - Tunai tanggungjawab dengan tidak ikhlas

2. Teman, sekarang mari renungi diri, pernahkah kita rasa perkara tersebut? Saya secara peribadi pernah mengalaminya. Saya ketika itu merasakan diri ini seperti 'bangkai bernyawa', yang tidak sepatutnya menghuni di bumi ini. Tatkala itu, saya seperti pepatah Melayu mengatakan 'hidup segan mati tak mahu'. Semua serba salah. Yelah, hidup rasa benci pada diri sendiri. Nak pergi mati pulak takut masuk neraka! Allah...

3. Saya cuba membuat perbezaan. Bagaimana rasanya hidup sehari apabila melakukan ini - solat lewat dahla tak berjemaah dan tak ber'masjid', solat sunat tak buat, Quran dan Ma'thurat tak baca, qiam pulak jauh sekali, tak jaga pandangan, usrah tak pergi tanpa sebab, kerja selalu bertangguh, suka mengumpat dan cakap keburukan orang, suka share berita yang diri sendiri pun tak pasti betul atau tak, baca paper lebih digemari dari baca Quran, selalu ber'helah' (padahal menipu), asyik berFB sampai sanggup melengah-lengahkan solat, dan yang paling rasa JAHANAM dalam diri ialah: Kita suruh orang buat baik tapi kita sendiri tak buat kebaikan itu...aduh! Maafkan saya jika terkasar bahasa. Saya ingin musnahkan segala kejahatan dalam diri sekarang...

4. Teman, Alhamdulillah hari ini saya rasa lain dari yang lain. Tidak seperti di atas. Sungguh, jika kita dapat mengecualikan diri dari perlakuan di atas, kita akan rasakan hidup ini sungguh damai dan menyegarkan, lantas segala kerja buat kita dalam hari tersebut akan terurus dengan teratur dan berkualiti sekali. Persoalannya, adakah hari esok kita akan jadi macam hari ini? Teman, saya pernah terbaca ini, saya terlupa ianya hadis atau kata-kata ulama':

"Jika kamu sudah insaf, tetapi rasa ingin buat perkara jahat itu lagi, hendaklah kamu berkata seperti ini dalam dirimu-InsyaAllah, saya tidak akan ulangi lagi hal tersebut"

5. Teman, mungkin kalian melihat saya hebat memotivasi dan menasihatkan orang, hingga ada yang meminta untuk saya mengambilnya bekerja. Saya memberitahunya bahawa saya belum bersedia. Tetapi teman, ketahuilah menceburi diri dalam bidang ini bukan sahaja menuntut kekuatan kita untuk cuba memperbaiki orang lain, bahkan yang lebih utama dari itu ialah diri sendiri dahulu mesti dibaikikan. Rentetan itulah, pentingnya kita hadir ke usrah, kuliah, tazkirah,seminar,forum,ceramah dan apa sahaja untuk meningkatkan kualiti diri baik dari segi roh mahupun jasad. 'Gila membaca' juga sifat yang wajib dimiliki oleh seseorang yang ingin 'terjun' dalam kerja ini. Dan teman, sesungguhnya saya sedang berusaha ke arah semua itu InsyaAllah...

6. Teman, jika panjang umur pagi esok saya ingin mengulangi rutin mingguan saya iaitu ke Medan Ilmu Kota Bharu untuk mengutip mutiara hikmah daripada yang disayangi rakyat Kelantan, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Saya juga berharap Ustaz Fadhli Shaari akan mengisi kuliah tersebut. Saya suka ceramah berapinya yang mampu membakar semangat anak muda seperti saya untuk menginfaqkan diri ke jalanNya. Malamnya, saya akan berangkat ke KL untuk menyertai satu kursus yang menghimpunkan trainer-trainer Muslim seMalaysia. Saya juga ingin mengambil kesempatan ke Pesta Buku Antarabangsa di PWTC untuk 'memborong' buku-buku untuk dibawa balik sebagai hadiah untuk diri saya sendiri...huhu..doakan semoga semuanya selamat ya...Oh ya, mungkin saya boleh beritahu sekarang, bulan 5 ini saya akan ke Perlis, tempat saya dilahirkan. Yang pertama sebabnya saya akan membantu adik-adik saya bertamrin di sana. Yang kedua ialah hari konvokesyen saya. Yang ketiga pula semestinya saya ingin menghangatkan kembali ikatan ukhuwwah Islamiyyah yang dibina selama ini dengan murabbi saya dan sahabat-sahabat seperjuangan saya di sana...huhu dah lama tinggal jadi sejuk plak =)

7. Teman, bagaimana pendapatmu terhadap tulisan saya kali ini? Sudah lama saya tidak mencoret di sini. Jika tidak menyusahkan mungkin kalian boleh beri sedikit komen di bawah ya...:)

Jumpa lagi di lain masa. Semoga coretan seorang hamba ini boleh menjadi saham besar saya di akhirat kelak, juga untuk anda semua. Semoga kita sama-sama berpeluang disirami rahmat Allah.


Teman,jika nafsu jahat mendatangimu, katakan ini kepadanya: "Wahai petualang, aku tak berhajat untuk bersua denganmu. Namun jika kau ingin juga bertembung denganku, ketahuilah engkau akan menyesal tak berkesudahan!"

Saya ingin menjadi penunggang nafsu ke syurga...ayuh bersama saya wahai anak-anak muda ansoorullah!


Wallahua'lam


Monday, April 11, 2011

Sekitar Kursus Kepimpinan Pengawas di SMK Bukit Diman, Terengganu

video

Klip video ini didedikasikan khas untuk adik-adik SMK Bukit Diman, Ajil, Terengganu. Sesungguhnya bersama anda di dalam Kursus Kepimpinan Pengawas telah meninggalkan memori yang bermakna kepada saya. Jadikanlah montaj ini sebagai kenangan kita berprogram bersama. Semoga pertemuan dan perpisahan kita adalah kerana Allah =)

Saturday, April 9, 2011

Selamat Mengundi Bumi Kenyalang

Selamat Mengundi Bumi Kenyalang! Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat mengundi kepada seluruh rakyat Sarawak. Pesanan saya, buatlah pilihan yang terbaik. Dapatkanlah maklumat dari sumber yang betul dan adillah kepada diri sendiri dengan mendengar dari kedua-dua belah pihak sama ada dari pembangkang mahupun dari kerajaan. Setelah dikaji dan diteliti, luahkanlah segala-galanya di kertas undi anda. Ingat! Pemimpin pilihan anda nanti akan memandu anda di dunia ini dan juga di akhirat nanti. Tersilap pilih, terbabaslah anda dari landasan yang sebenar!


Selamat Mengundi Bumi Kenyalang!


Wallahua'lam

Pejabat ITC
12.32 PM