Thursday, May 3, 2012

Bersangka Baik Terhadap Allah


Bismillah, saya kembali berblog. Terasa ingin mencoretkan sesuatu, buat perkongsian bersama.

'Bersangka baik terhadap Allah', itulah tajuk posting blog saya kali ini. Cara penyampaian saya kali ini ialah melalui puisi hebat, dari seorang pencinta kebenaran bernama Jalaluddin Rumi.

Kadang-kadang hidup kita tergelincir, dan tidak mustahil berprasangka yang bukan-bukan terhadap apa yang berlaku terhadap kita, sehingga menyalahkan kepada Sang Pencipta.

Buatmu teman, terimalah...

Jika engkau belum mempunyai ilmu, hanyalah prasangka,
maka milikilah prasangka yang baik tentang Tuhan.
Begitulah caranya!

Jika engkau hanya mampu merangkak,
maka merangkaklah padaNya!
Jika engkau belum mampu berdoa dengan khusyuk,
maka tetaplah persembahkan doamu,
yang kering, munafiq dan tanpa keyakinan,
kerana Tuhan, dengan rahmatNya,
akan tetap menerima mata wang palsumu!

Jika engkau masih mempunyai seratus keraguan mengenai Tuhan,
maka kurangilah menjadi sembilan puluh sembilan sahaja.
Begitulah caranya!

Wahai pejalan!
Biarpun telah seratus kali engkau ingkar janji,
ayuhlah datang, dan datanglah lagi!
Kerana Tuhan telah berfirman:
"Ketika engkau melambung ke angkasa,
ataupun terpuruk ke dalam jurang,
ingatlah kepadaKu, kerana Akulah jalan itu"


Saya, saudaramu dalam Islam

Tuesday, February 14, 2012

Halawatul Iman

Bismillah. Selamat bertemu kembali teman-teman yang dirahmati Allah dan disayangi nabi. Semoga kita sentiasa bernafas di dalam keredhaanNya dan dipayungi rahmatNya.

1. Posting saya kali ini ialah berkaitan tajuk forum yang saya hadiri semasa di UiTM Perlis baru-baru ini iaitu 'Halawatul Iman' yang bermaksud 'Kemanisan Iman' di dalam BMnya. Sangat berat tajuk ini bagi saya, apatah lagi bila dicerminkan kepada diri ini. Walau bagaimanapun, atas dasar perkongsian ilmu dan kebaikan, saya gagahi juga untuk bermusafir ke Perlis yang merupakan tempat kelahiran saya itu. Mudah-mudahan, ada sedikit pencerahan yang boleh saya lakukan khususnya untuk diri ini. Terasa angin bahagia menerpa hati, bila sahaja mengetahui saya akan digandingkan dengan adik-adik mad'u yang saya mula kenali mereka melalui usrah semasa saya masih di alam kampus suatu ketika dulu =)

2. Teman, secara mudahnya ingin saya katakan, kemanisan iman ini ialah apabila kita rasa sangat gembira terhadap apa sahaja amal kebaikan yang kita lakukan, sehingga kita sanggup bersusah-payah keranaNya. Jangan hanya melihat kepada amal ibadat yang khusus semata-mata seperti solat, puasa dan berzikir, bahkan memberikan senyuman, menghulurkan pertolongan dan bergaul dengan baik juga ialah antara perilaku yang boleh dimanfaatkan untuk merasai kemanisan iman.

3. Saya cuba menggali khazanah dari nabi kita SAW yang dicintai tentang kemanisan iman ini. Baginda SAW ada bersabda yang direkodkan oleh Anas R.A yang menyatakan bahawa jika seseorang itu mempunyai 3 perkara ini di dalam dirinya, nescaya beliau akan dapat merasai kemanisan iman. Ianya sebagaimana berikut:

~ Mencintai Allah dan RasulNya lebih dari segala-galanya
~ Mencintai seseorang kerana Allah
~Membenci untuk kembali kepada kekafiran/kemaksiatan setelah Allah selamatkannya, sebagaimana bencinya dia untuk dilemparkan ke neraka.

4. Teman, apabila saya menekuni 3 perkara tersebut, jujur saya katakan memang susah untuk kita konsisten dalam kehidupan ini dengannya, walaupun mungkin pada awalnya kita berkobar-kobar untuk mendapatkannya. Tetapi sebaik sahaja menatap kata-kata ini, aura kebangkitan mula menusuk masuk di dalam diri:

"Jika engkau letih melakukan kebaikan, sedarlah bahawa letihmu akan hilang dan pahalamu akan tersimpan kekal. Manakala jika engkau berlazat dan berseronok dengan berbuat dosa, ketahuilah bahawa seronok dan lazat itu akan berlalu, tetapi dosa dan azab masih tersimpan kekal"

5. Pernah tak anda rasa kurang selesa di dalam diri apabila terlepas solat Dhuha yang sentiasa anda amalkan setiap pagi? Atau rasa kurang tenteram apabila terlepas solat tahajjud yang anda istiqamah lakukan sebelumnya? Atau anda rasa bersalah bila sahaja anda masih belum menginfaqkan harta anda yang telah anda tetapkan bahagiannya di dalam sebulan? InsyaAllah teman, jika kita rasa sedemikian, itulah simptom-simptom kemanisan iman yang akan dialami oleh sesiapa sahaja yang berusaha mencapainya.

6. Teman, memang kita tidak dapat menandingi Bilal bin Rabah, yang kemanisan imannya telah menguasai dirinya dari murtad tatkala disiksa, dan kita juga tidak dapat melawan Tsa'labah, yang perasaan bersalahnya tatkala terlihat perkara mungkar sangatlah dahsyat sehingga tidak mahu meletak kepalanya di ribaan nabi SAW. Pun begitu, berusahalah teman. Ayuh kita gigih untuk mendapatkan kemanisan ini. Jangan mengalah pada diri. . Bangunlah kembali selepas jatuh. Jangan terus di dalam kejatuhan tersebut!

“Sesungguhnya, orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah bergetarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambahlah keimanan mereka dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal, iaitu orang-orang yang mendirikan solat dan menafkahkan sebagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka. Itulah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan memperoleh beberapa darjat ketinggian disisi Tuhannya dan ampunan serta rezeki yang mulia.”
(Al-Anfaal : 2)



Syukran. Jumpa lagi teman jika dipanjangkan umur olehNya.

Monday, November 14, 2011

Sekitar Majlis Ihtifal PASTI Muaz Bin Jabal, Pintu Geng

Abang iparku, ummiku, kakakku, Amalin & Afiq


Alhamdulillah, saya kembali berblog, setelah sekian lama menyepi.

Kali ini saya nak share rakaman saya semasa majlis ihtifal Pasti Muaz bin Jabal, Pintu Geng baru-baru ini. 2 orang anak saudara saya ada di sini. Nama panggilannya ialah Amalin (5 tahun) dan Afiq (4 tahun).

Alhamdulillah, persembahan ini membuktikan bahawa fitrah suci kanak-kanak jika diisikan dengan rasa cinta pada Allah, kasih pada nabi SAW, sayang ibu dan bapa mereka InsyaAllah akan menghasilkan manusia yang bermanfaat kepada masyarakat kelak.

Saksikanlah persembahan mereka yang menghiburkan dan mencuit hati ini =)


video
Persembahan Amalin secara berkumpulan *beliau yang memegang mike tu


video
Persembahan Afiq berkumpulan *beliau yang paling chubby di situ =)


video
Persembahan Amalin secara duet


video
Persembahan Amalin secara berkumpulan terakhir yang penuh bertenaga



Pastinya anda juga ingin memiliki anak-anak seperti ini kan?

=)

Tuesday, October 4, 2011

Ibrah 'Surat Cinta' Allah

Bismillah. Salam pencerahan dari saya.

Alhamdulillah wa syukrulillah, mood untuk menulis telah kembali =)

Teman, saya ingin berkongsi sesuatu dengan anda semua yang saya kasihi. Ianya ialah beberapa potong ayat dari 'surat cinta' Allah kepada kita. Entah kenapa semasa membacanya pagi tadi, hati ini begitu terkesan sekali. Saya tampilkan ayatnya~


Ianya dari surah Al-Fatir ayat ke 37. Nah teman, kau bacalah terjemahannya dengan penuh penghayatan:

"Dan mereka berteriak di dalam neraka itu, "Ya Tuhan kami, keluarkanlah kami (dari neraka), nescaya kami akan mengerjakan kebaikan, yang berlainan dengan yang telah kami kerjakan dulu." (Dikatakan kepada mereka), "Bukankah Kami telah memanjangkan umurmu untuk dapat berfikir bagi orang yang mahu berfikir, sedangkan telah datang kepadamu seorang pemberi peringatan? Maka rasakanlah (azab Kami), dan bagi orang-orang zalim tidak ada seorang penolong pun"


Saya cuba merenungi dan mentadabburi ayat Allah yang DAHSYAT ini, dan inilah antara yang bermain-main di dalam benak akal saya:

- Ini sebuah gambaran tentang bagaimana keadaan hamba Allah yang menderhakaiNya semasa di dunia. Membacanya, akan menghasilkan suatu ketukan yang sangat keras ke atas hati yang keras supaya ianya lembut kembali.

- Al-Quran ini, banyak gaya penyampaiannya. Ada dalam bentuk fakta, ada dalam bentuk cerita, ada dalam bentuk pernyataan, ada dalam bentuk sindiran dan bermacam-macam lagi. Tetapi untuk ayat ini, Allah memilih dalam bentuk dialog soal-jawab. Saya merasakan seolah-olah Allah mahu kita lebih 'cristal clear' tentang apa yang hendak dimaksudkan olehNya. Subhanallah...

- Sudahlah ianya dalam bentuk dialog soal-jawab antara Dia sendiri dengan hambaNya, bahkan dialog ini ialah yang akan berlaku pada masa hadapan. Bagaimana mungkin ini boleh dilakukan? Setakat saya hidup di dunia ini, saya dapati dialog yang sudah dilakukan sahaja yang boleh dirakam dan ditunjukkan. Anda pernah tengok atau tidak sesiapa di dunia ini yang boleh rakam percakapannya di masa hadapan, kemudian dia tunjukkan kepada anda? Mesti tak pernah kan? Ayat Allah ini, sungguh haibat!

- Jika diteliti lagi ayat tersebut, tidak dapat saya jangkau bagaimana peritnya ayat 'full-stop' dari Allah kepada hambaNya yang derhaka, dan bagaimana peritnya penyesalan yang dialami oleh si polan tersebut. Tatkala ini teman, tiada simpati atau rasa kasihan belas lagi oleh Allah, sebagaimana simpati dan rasa kasihanNya kepada kita setelah diberikan seluas-luas peluang di dunia ini.

- Apakah ini menunjukkan Allah itu zalim? Tidak teman! Yang zalimnya itu ialah mereka yang mensia-siakan peluangNya. Ini sebenarnya suatu tindakan yang rasional dari Allah sebagai Tuhan, umpama seorang bos yang memecat pekerjanya yang 'useless'. Apakah hendak dikatakan bos tersebut zalim?

Huh, cukuplah dari saya untuk hari ini. Kalian pergilah merujuki para alim ulama' jika ingin mengetahui lebih dalam tentang maksud ayat ini. Saya pula, sekadar ingin berkongsi perasaan dengan kalian tentang apa yang saya 'nikmati' dengan ayat ini.

Apa komen anda teman? Maaflah jika coretan kali ini kurang menyenangimu...

Wallahua'lam.

Jumpa lagi teman di lain waktu jika dipanjangkan umur olehNya...